Wednesday, May 11, 2011

Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-94 yang bersidang pada 20 - 22 April 2011 telah membincangkan Hukum Penggunaan Vaksin Meningitis Menveo. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
 
  1. Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) dan meneliti keterangan, hujah-hujah serta pandangan yang dikemukakan, Muzakarah mengambil perhatian bahawa proses penghasilan Vaksin Menveo keluaran Syarikat Novartis Vaccines adalah sama sepertimana penghasilan Vaksin Mencevax keluaran Syarikat Glaxo Smith Kline (GSK).
     
  2. Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa pada dasarnya hukum penggunaan vaksin Menveo adalahharus atas dasar dharurah sama seperti vaksin Mencevax yang telah diputuskan pada Muzakarah kali ke-53 bertarikh 27 November 2002 kerana sehingga kini masih belum ada mana-mana vaksin meningococcal meningitis yang dihasilkan 100% halal dan suci daripada awal hingga akhir proses penghasilannya.
     
  3. Walaubagaimanapun untuk maslahah umat Islam, Muzakarah berpandangan di antara kedua-dua vaksin ini, keutamaan adalah kepada vaksin Mencevex yang telah digunakan sekian lama dan telah terjamin dari segi keberkesanan dan keselamatan kepada pengguna. Manakala vaksin Menveo masih baru di pasaran dan pemonitoran kesan jangka panjang masih berterusan.
     
  4. Muzakarah juga berpandangan bahawa Sijil Halal tidak wajar diberikan kepada vaksin Menveo kerana penentuan harus adalah atas dasar dharurah dan proses penghasilannya tidak mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia.

2 comments:

  1. Assalamualaikum. Emm eh kawan kite ni ad blog laa.. xsangke nye

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam, aku low profile bro..xle nk capub sgt..he3

    ReplyDelete